Saturday, 16 August 2014

TINJAUAN DI SUNGAI KLANG



KlANG

Klang ( Jawi: كلاڠ) dahulunya dikenali sebagai Kelang) merupakan Bandar DiRaja dan daerah di Negeri Selangor Darul Ehsan, Malaysia. Bandar ini pernah menjadi ibu negeri Selangor sebelum wujudnya Kuala Lumpur danShah Alam. Ia terletak kira-kira 32 km di barat Kuala Lumpur. Klang bersempadan dengan daerah Petaling di sebelah timur ; daerah Kuala Langat di sebelah selatan manakala Kuala Selangor di sebelah utaranya. Di sebelah baratnya pula merupakan Selat Melaka.
Sejarah penubuhan Klang dipercayai lebih awal dari sejarah penubuhan Melaka. Klang dipercayai adalah sebahagian dari jajahan kerajaan Srivijaya dan Majapahit. Perkataan Klang dipercayai berasal dari perkataan bahasa Asli, rumpun bahasa Mon-Khmer atau bahasa Austro-Asia iaitu "Klong". Klong boleh diertikan sebagai gudang seperti mana yang dikemukakan oleh C.O. Blagden yang menyatakan Klang menjadi sebuah Pelabuhan terpenting yang mempunyai banyak gudang-gudang.
Charles A. Fishr pula berpendapat "Klang" itu bermaksud "terusan" atau jalan air. Pendapat ini dipersetujui di mana Klang mempunyai banyak jalan air iaitu anak-anak sungai seperti Sg. Klang, Sg. Bertek, Sg. Pinang, Sg. Sementa, Sg Kapar Indah, Sg. Agas, Sg. Kandis, Sg. Binjai, Sg. Kapar, Sg. Jati, Sg. Aur, Sg. Rasau dan Sg. Putus.
Nama sungai ini terus kekal sehingga ke hari ini. Klang menjadi penting hanya selepas Kuala Selangor merosot khususnya selepas kemangkatan Sultan Muhammad (1826-1857). Sehinggalah pada tahun 1875, Klang di pilih sebagai ibu kota Negeri Selangor sebelum ditukar kepada Kuala Lumpur pada 1880. Pada tahun 1886, Klang merupakan sebuah tempat yang cantik dan bersih.
Sungai Kelang

  • Sungai Kelang merupakan sebatang sungai yang mengalir melalui Kuala Lumpur dan Selangor di Malaysia ke Selat Melaka. Panjangnya kira-kira 120 km dan menyalirkan lembangan kira-kira 1,288 km persegi. Sungai Kelang mempunyai 11 cawang sungai utama. Sungai ini bersambung dengan Sungai Gombak yang menjadi titik permulaan Kuala Lumpur.
  • Disebabkan sungai ini mengalir melalui Lembah Klang yang padat dengan lebih empat juta penduduk, ia agak tercemar. Pembangunan pesat telah menyempitkan sebahagian sungai sehingga menyerupai parit besar. Ini sering mengakibatkan banjir kilat di Kuala Lumpur, terutamanya apabila hujan lebat.
pencemaran berpunca daripada minyak pelincir terpakai
            Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor telah menjalankan siasatan segera ke muka sauk empat Loji Rawatan Air (LRA) yang operasinya ditutup sementara semalam berikutan pencemaran minyak diesel di Sungai Selangor, bagi mengenal pasti punca pencemaran itu. LRA berkenaan ialah Rantau Panjang manakala tiga buah lagi di Kampung Bukit Badong iaitu SSP1 (SPLASH), SSP2 (Puncak Niaga) dan SSP3 (SPLASH).  
            Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel berkata hasil siasatan itu mendapati kesan minyak tersebut berpunca daripada tumpahan minyak pelincir terpakai (SW 305) di dalam longkang pada sebuah bengkel penyelenggaraan lori di Jalan Batu Arang, Sungai Bakau, Rawang. 
            "Kesan pembuangan minyak itu menyebabkan kesan minyak yang ketara terhadap Sungai Gong yang akhirnya telah memasuki Sungai Selangor dan mengakibatkan empat loji air di Rantau Panjang dan Bukit Badong ditutup operasi sementara semalam.
            "Pasukan penyiasat JAS telah melakukan persampelan minyak di Sungai Gong dan dalam premis untuk melengkapkan siasatan. Pihak premis telah diarah membuat sekatan serta-merta dengan menutup aliran longkang premis bagi menyekat aliran air bercampur minyak dari terus memasuki ke dalam Sungai Gong," katanya dalam kenyataan hari ini.
            Palanivel berkata selain itu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah memasang peralatan kawalan tumpahan minyak di permukaan Sungai Gong berhampiran longkang yang melepaskan aliran air bercampur minyak bagi menghalang aliran minyak itu berterusan mencemari Sungai Gong dan seterusnya ke Sungai Sembah sebelum memasuki Sungai Selangor.
            "Kerja-kerja mengumpul dan membersihkan buangan minyak oleh pihak premis selesai sekitar 5 petang (semalam) di sekitar premis dan buangan minyak yang dikumpul adalah dianggarkan sebanyak 4,000 liter,  distorkan di dalam premis.
            "Kawalan dan pembersihan kesan-kesan buangan minyak yang masih terdapat di dalam sungai dikendalikan oleh pihak LUAS," katanya. Hari ini Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita keseluruhan operasi premis terbabit termasuk kelengkapan penyelenggaraan kenderaan.
            JAS Selangor pula menyita dua buah lori tangki milik premis yang digunakan untuk menyedut dan mengumpulkan buangan minyak untuk tindakan lanjut JAS, katanya. Palanivel menegaskan JAS akan mengambil tindakan tegas berhubung insiden pencemaran itu selaras dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
            Sementara itu, Timbalan Menteri Tenaga, Tenaga Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata empat Loji Rawatan Air (LRA) yang ditutup semalam kerana pencemaran diesel di Sungai Selangor, mula beroperasi  tengah malam tadi namun bekalan air ke kawasan terjejas dijangka pulih secara berperingkat di antara tiga hingga lima hari mulai hari ini.
            Katanya, dalam tempoh tiga hari  itu, bekalan air di 80 peratus  kawasan terjejas terutamanya kawasan rendah dijangka kembali pulih seperti biasa. Kerja mengepam air mentah dari Sungai Selangor bermula pada jam 12.30 tengah  malam tadi di LRA Rantau Panjang seterusnya LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) pada jam 12.40 pagi, LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) pada jam 5 pagi dan LRA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) pada jam 5.30 pagi, katanya kepada pemberita semasa meninjau muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 2.
            Jumlah keseluruhan akaun pengguna air yang terjejas berikutan penutupan empat LRA itu ialah 899,931  terdiri daripada 183,340 akaun di Gombak, 66,893 di Kuala Lumpur, 347,925 di Klang, 4,993 di Kuala Langat,  35,620 di Kuala Selangor, 248,120 di Petaling dan 13,040 di Hulu Selangor.
            Beliau berkata walaupun empat LRA iaitu Rantau Panjang dan SSP2 yang dikendalikan Puncak Niaga (Malaysia) Sdn Bhd dan SSP1 dan SSP3 yang dikendalikan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) tidak beroperasi hampir 17 jam sejak jam 8 pagi semalam, tetapi pemulihan bekalan air akan mengambil masa yang lebih lama.
            "Ini adalah kerana rizab bekalan air terawat di Lembah Klang kini berada pada paras yang rendah iaitu satu peratus," kata Mahdzir. Berikutan itu, katanya pembinaan LRA Langat 2 yang membawa masuk air mentah dari Pahang amat diperlukan bagi memastikan bekalan air stabil untuk para pengguna di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor. Menurutnya kira-kira 60 peratus daripada bekalan air di Lembah Klang bergantung kepada sumber air mentah dari Sungai Selangor yang diproses oleh empat LRA itu.
            Sementara itu,  Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menjangka gangguan bekalan air di enam wilayah terjejas akibat pencemaran Sungai Selangor akan pulih secara berperingkat dalam masa tiga hari lagi sebelum pulih sepenuhnya dalam tempoh seminggu.
            Sehingga kini, jumlah pengguna yang terjejas telah menurun kepada kira-kira 880,000 akaun pengguna iaitu 60 peratus daripada jumlah pengguna di enam wilayah iaitu Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor dan Hulu Selangor. 
            Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat SYABAS, Abdul Halem Mat Som berkata pengguna wilayah Kuala Langat telah menerima bekalan air semula sepenuhnya sejak awal pagi tadi.  
            "Oleh sebab kawasan yang terlibat amat luas dan jumlah pengguna yang terjejas melebihi sejuta orang, semua kakitangan Syabas kini bertugas 24 jam secara bergilir-gilir bagi memastikan semua kerja-kerja berjalan lancar," katanya kepada Bernama hari ini.
Kepesatan pembangunan punca Sg Klang tercemar

Keadaan ini telah memberi cabaran besar kepada kerajaan untuk menguruskan masalah yang dihadapi penduduk ekoran berlakunya pencemaran sungai termasuk dari sudut kawalan banjir. 
            Kepesatan pembangunan dan jumlah penduduk yang ramai di kawasan Lembah Klang merupakan faktor penyumbang terhadap pencemaran Sungai Klang, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas. Beliau berkata faktor itu telah memberi cabaran besar kepada kerajaan untuk menguruskan masalah yang dihadapi penduduk ekoran berlakunya pencemaran sungai termasuk dari sudut kawalan banjir.
            “Kepesatan penduduk yang melebihi empat juta orang di bandar-bandar sekitar Sungai Klang termasuk Ampang dan Shah Alam telah menyebabkan pencemaran Sungai Klang ketika ini berada di kelas III dan IV yang mana ia dikategorikan oleh Jabatan Alam

Sekitar sebagai tercemar,” katanya di dalam ucapan yang dibacakan pada majlis pelancaran Ekspedisi Sungai Klang Bersama Media di sini hari ini.
            Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor. Uggah berkata melalui pelbagai kempen kesedaran yang dilaksanakan kerajaan seperti ‘Cintailah Sungai Kita’ serta penempatan semula setinggan, kadar sampah yang memasuki sistem sungai di lembangan Sungai Klang berjaya dikurangkan.
            “Kadar sampah di Sungai Klang yang dicatatkan pada masa kini ialah 77,000 tan setahun dan kita jangkakan dengan projek River of Life (RoL) yang dilancarkan Julai tahun lepas, kita akan dapat mengurangkan lagi kadar ini iaitu sebanyak 50,000 tan setahun melalui pelbagai langkah termasuk pemasangan perangkap sampah selain program kesedaran awam,” tambahnya.
            Menurut Uggah, media turut memainkan peranan yang penting bagi membantu kerajaan mengubah dan membentuk masyarakat ke arah pengurusan alam sekitar yang mapan khususnya membabitkan isu pengurusan sungai.
            “Selain melaporkan apa yang terjadi kepada sumber alam, media massa juga berperanan membantu kerajaan mentranformasikan Sungai Klang kepada sungai yang bersih. “Atas sebab itu kita mengadakan program Ekspedisi Sungai Klang Bersama Media dengan tujuan bagi mendapatkan kerjasama dan komitmen media dalam menyebarkan maklumat terkini mengenai alam sekitar khususnya berhubung isu menguruskan sungai,” katanya.
            Uggah turut berharap masyarakat setempat lebih peka dalam aspek penjagaan sungai dan dapat bekerjasama dengan kerajaan dalam membendung pencemaran sungai. Terdahulu, kumpulan media telah dibawa memudiki Sungai Klang dengan menaiki bot dalam perjalanan selama 1 jam bermula di Royal Selangor Yatch Club, Pelabuhan Klang dan berakhir di Seksyen 24 di sini.


-KERATAN AKHBAR-
RAWANG, 2 SEPT : Pembuangan minyak hitam terpakai oleh sebuah kilang yang mengambil kontrak memproses sampah secara haram dipercayai punca berlakunya pencemaran air di empat sungai sehingga menyebabkan gangguan air di beberapa kawasan Lembah Klang dan Kuala Lumpur.
Penolong Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Paramasivam Chelliah berkata, pihaknya membuat siasatan ke atas kilang itu pada 30 Ogos lalu, setelah mendapat panggilan telefon daripada Lembaga Air Selangor (Luas) yang mengatakan berlakunya pencemaran sungai.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati terdapat kesan pertumpahan minyak di Sungai Gong berpunca daripada kilang tersebut yang turut mempunyai bengkel sendiri untuk penyelenggaraan lori sampah.
“Pemilik kilang ini mengumpul minyak hitam daripada bengkel yang sepatutnya dikitar semula, tetapi apa yang berlaku adalah dua buah tangki minyak hitam itu dibuang ke dalam longkang.
Pencemaran itu menyebabkan empat loji iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) terpaksa ditutup sementara.
Pihak MPS juga terpaksa menggunakan enam lori tangki Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) untuk menyedut sisa minyak hitam yang dibuang sebagai langkah pembersihan sungai.
Pencemaran air juga akan membawa kesan-kesan yang lain seperti kesan kepada kualiti air, mengurangkan kandungan oksigen terlarut, sistem air bawah tanah tercemar, dan menjejaskan keindahan alam.



KESAN PENCEMARAN AIR
IMPLIKASI KESIHATAN

            Semua jenis pencemaran air mempunyai kesan dan berbahaya kepada manusia serta spesies lain jika ia terlalu serius. Contohnya, sodium boleh menjadi implikasi kepada masalah jantung, nitrat pula mampu menyebabkan masalah darah. Merkuri dan plumbum boleh mengakibatkan masalah saraf.
            Sesetengah bahan pencemaran boleh menyebabkan barah. DDT (racun serangga) adalah toksik kepada manusia dan boleh mengubah kromosom. Polychlorinated biphenyls (PCB) boleh merosakkan hati dan sistem saraf, gangguan kulit, muntah-muntah, demam panas, cirit-birit dan keadaan tidak normal yang bahaya.
            Disenteri, salmonela, cryptosporidium dan hepatitis adalah antara penyakit yang berjangkit menerusi keracunan air minuman dan air untuk mandi. Sesetengah pantai, sungai dan tasik tidak sesuai untuk orang ramai bersantai kerana bahan buangan kilang yang mencemari kawasan itu.
            Pencemaran air juga menjadi masalah yang amat serius di negara dunia ketiga di mana jutaan manusia mendapatkan air minuman dari kawasan yang dicemari dengan bahan buangan manusia sendiri. Pencemaran sebegini dikatakan menyebabkan lebih tiga juta kematian setiap tahun kerana cirit-birit, kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak.
Kesan kepada kehidupan akuatik

Alam sekitar rosak dengan teruk terutama di tempat yang mengalami pencemaran air. Pencemaran air memberi kesan kepada sistem eko laut, sungai, muara, tasik dan air dari tanah.
            Bagaimanapun, pencemaran air bukan hanya memberi kesan kepada alam sekitar, malah turut memberikan kesan kepada spesies yang menggunakan alam sebagai habitat. Hidupan liar akuatik adalah antara mangsa pencemaran air. Sejenis pencemaran yang memberikan kesan kepada air ialah bentuk fizikal, seperti peningkatan suhu. Oleh kerana air dialirkan daripada kilang industri, hampir 15 sehingga 25 miligram air yang dipanaskan dialirkan ke dalam sistem penyejuk air.
            Apabila air panas itu dialirkan keluar ke sungai, suhu air sungai itu akan meningkat. Hasilnya, ia akan mengganggu perhubungan ekologikal di antara sistem air dan hidupan akuatik. Malah, peningkatan suhu walau sedikit adalah bahaya kepada pelbagai ikan dan hidupan akuatik lain.
            Pencemaran air turut memberi kesan kepada tumbuhan. Dengan peningkatan pencemaran kimia seperti nitrat dan fosfat, ia boleh menyebabkan kerosakan rumpai dalam sistem air, sekali gus mengubah habitat tumbuhan akuatik.
KESAN KEPADA TANAH BASAH
            Tanah basah menyediakan habitat kepada banyak organisma hidup dan spesies tumbuhan. Apabila fosforus daripada pencemaran bahan kimia ditambah dalam sistem air, lebih banyak rumpair tumbuh. Kebanyakan daripada fosforus yang ditambah ke dalam sistem
air dihasilkan daripada kilang industri yang berhampiran. Dengan peningkatan fosforus, ia menyebabkan ekosistem menjadi tidak seimbang. Pencemaran air berkaitan dengan jatuhnya kualiti air yang diukur daripada kriteria biologikal, kimia dan fizikal.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH SUNGAI
a) Menyediakan tangki takungan bawah tanah yang dirawat.

            Untuk mengatasi masalah pelepasan air buangan domestik supaya tidak dilepaskan terus ke dalam sistem perparitan maka adalah perlu disediakan tangki takungan bawah tanah dan dirawat menggunakan bioteknologi selaras dengan usaha negara menjadikan Malaysia sebagai pusat bioteknologi rawatan air (Utusan Malaysia, 2006). Malah, pihak kerajaan seharusnya memperuntukkan sejumlah wang supaya sistem perparitan daripada kawasan perumahan terutama kawasan perindustrian dan juga pengusaha kedai makanan perlu dibina saluran paip khas supaya air buangan dapat dikumpulkan di kolam takungan sebelum disalirkan ke dalam sistem perparitan.
b) Menambah bilangan tong sampah di pusat pengumpulan sampah.

Hasil tinjauan juga mendapati bahawa pengurusan sampah yang lemah bukan sahaja pada peringkat sekolah tetapi juga peringkat majlis perbandaran yang menyebabkan sampah sarap bertaburan merata tempat. Oleh itu, diperingkat sekolah pengurusan peletakan tong sampah perlu diambil kira. Tong sampah perlu ditambah di tempat strategik sebagai pusat pengumpulan sampah supaya sampah tidak melimpah.
c) Pemasangan perangkap sampah.
Untuk mengatasi sampah sarap dialirkan oleh air melalui longkang, adalah perlu supaya perangkap sampah dipasang di tempat-tempat strategik di sepanjang parit utama untuk memerangkap sampah sarap juga memudahkan pengurusan penyelenggaraan.
d) Penyelenggaraan sistem perparitan berkala.
Untuk memastikan supaya sampah sarap tidak menyebabkan sistem perparitan tidak tersumbat maka penyelenggaraan berkala seharusnya dijalankan iaitu 1 atau 2 kali sebulan. Dengan cara ini, maka sampah sarap tidak akan menyebabkan sekatan air sekali gus sampah tidak terlepas ke sistem saliran utama di sungai.
e) Kempen kesedaran melalui iklan TV.


Untuk mengatasi masalah sikap kebanyakan penduduk yang bersikap 'tidak apa' perlu ditangani. kempen kesedaran melalui Iklan TV mengenai kesan sikap individu yang membuang sampah tanpa memikirkan kesannya.  Oleh itu, adalah perlu setiap individu berubah kita seharusnya tidak mementingkan diri sendiri. Kita harus fikirkan keadaan generasi akan datang yang terpaksa menanggung hasil  tindakan yang kita buat hari ini. Adalah menjadi harapan agar individu mula mencerminkan diri. Sudah tiba masanya kita kembali siapa kita sebenar yang memerlukan 'soul reawakening'
.